Wednesday, February 1, 2017

91. MANA JANJI

Tahun baru harapan baru
Cerita dulu biarlah berlalu
Harapan kita kepada peneraju
Bawalah bersama ke mercu jaya
Jangan dibiar harapan bangsa
Mahu mendakap sumber negara
Di perut bumi tempat diteroka
Beratus tahun cukup untuk kita
Syukur kepada Tuhan Maha Kuasa
Ke mana harus harta berada
Kalau bukan untuk kita

Sebagai rakyat negara kaya
Kita memilih bukan saja-saja
Mendengar janji sebelum berkuasa
Memberi harapan penuh bermakna
Janji ditunai sukanya kami
Janji dimungkiri dukanya kami
Jangan dibiar rakyat merana
Harga barang terus meningkat
Bagai sungai terus mengalir
Wang di saku tidak seberapa
Hanya cukup buat seketika
Jika tidak peneraju kita
Siapa lagi mahu mengota
Segala janji suatu ketika dulu

-Wan Nazarie
Semenyih
01/02/2017

Friday, January 27, 2017

90. PEMIMPIN BERPADU

Masa tetap berlalu
Sesaat pun tidak menunggu
Kita semuanya tahu
Ciptaan Tuhan memang begitu
Masihkah kita menanti waktu
Menjadi pemimpin berpadu
Membawa rakyat bersatu
Membangun negara yang maju

Masyarakat ingin kehidupan bahagia
Dalam negara tercinta
Tanpa mengira bangsa
Atau berbeza agama
Matlamat mereka tetap sama
Mahu kebajikan dijaga
Inflasi dikawal segera
Keamanan di pelusuk negara

- Wan Nazarie
Semenyih
27/01/2017

Friday, October 28, 2016

89. BALASAN

Pantang melihat di depan mata
Terus sahaja mahu menerpa 
Itulah harta atau pangkat atau wanita 
Halal dan haram sudah tiada
Nampak harta gelaplah mata 
Nampak pangkat sanggup bersengketa 
Nampak wanita lupalah keluarga 
Orang merana tidak mengapa 
Asalkan dapat walaupun tercela 

Untung begini cuma sekejap
Harta yang dapat mula lesap
Pangkat yang ada membawa padah
Wanita dimiliki memang bermasalah 
Tidur malam semakin susah 
Mimpi pula tiada yang indah
Semakin hari semakin resah 
Barulah tahu diri yang salah
Rupanya balasan daripada Allah 

-Wan Nazarie 
Semenyih 
29/10/2016

Saturday, February 6, 2016

88. 34 TAHUN PERKAHWINAN


Semalam begitu ceria
Badan sihat hati gembira
Mahu makan apa saja
Tapi hari ini berbeza pula
Ceria hati entah ke mana
Urat sakit hilanglah selesa
Mahu makan tiada selera
Hari ini cukup bermakna
Buat kami berdua
Genaplah sudah berumahtangga
34 tahun ada suka dan duka
Biarlah jodoh hingga bila-bila
Esok masih ada
Semoga sihat hidup sejahtera


-Wan Nazarie
20/11/2015
Langkawi





87. ANAK MUDA

Waktu terus berlalu
Terasa lambat bila menunggu
Rasanya cepat bila tidak memburu
Perasaan manusia selalu begitu
Waktu tetap sama dari dahulu
Anak muda tidak ada waktu
Kalau tidak segera membuat sesuatu
Untuk belajar sampai ke mercu
Atau berniaga sehingga maju


Kuatkan semangat terus berusaha
Walau pun penat jangan dikira
Pantang undur sebelum berjaya
Berkali gagal perkara biasa
Anak muda jangan berputus asa
Kalau mahu jadi orang berjaya
Wahai anak muda gagah perkasa
Jangan dibiar waktu yang berharga
Lakukan apa sahaja asal tidak berdosa
Demi agama, bangsa dan negara

-Wan Nazarie
20/1/2016
Semenyih

Saturday, July 11, 2015

86. KITA MUNGKIN

Kita mungkin...
Suka beli baru
Suka buat baru
Suka wujudkan baru
Suka tambah baru

Bila dah dapat...
Nak jaga malas
Nak baiki malas
Nak bersih malas
Nak guna malas

Kemudian...
Beli baru
Buat baru
Wujudkan baru
Tambah baru

Kemudian...
Nak jaga malas
Nak baiki malas
Nak bersih malas
Nak guna malas

Begitulah
Berulang-ulang

Berlaku dalam...
Diri kita
Keluarga kita
Organisasi kita
Masyarakat kita
Pembaziran
Kerugian
Kekurangan
Kekeringan

 -10/4/2015
Semenyih

85. PEMUDA PEMUDI

Pemuda pemudi warisan bangsa
Jangan dibiar dirimu ternoda
Oleh sifat-sifat tidak mulia
Seperti tamak haloba
Menerima rezeki daripada riba
Menganggap rasuah itu perkara biasa
Tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada
Menikam rakan untuk berkuasa
Berpura-pura bila berkata
Suka membodek dengan ketua
Bila menipu selalu ketawa
Kalau begini sikap kita
Habislah harta hilanglah kuasa
Bangsa mundur lantas menderita
Harapan bangsa sudah tiada

Pemuda pemudi tiang negara
Jadilah orang yang berguna
Kepada agama, bangsa dan negara
Jangan dibiar masa yang ada
Tambahkan ilmu di dada
Sentiasa bersemangat dan bertenaga
Berani untuk berniaga
Berintegriti bila bekerja
Tidak berputus asa dalam berusaha
Kita dipandang bukan kerana rupa
Tetapi kerana sikap kita yang mulia
Maju bangsa maju ngara

-Wan Nazarie
9/4/2015
Semenyih

Monday, April 6, 2015

84. SEMASA BERNYAWA

Hidup di dunia cuma sebentar sahaja
Di akhirat jua tempat selama-lamanya
Bila sudah sampai masa
Walaupun sesaat tiada siapa
Dapat menolong kita
Daripada dicabut nyawa
Oleh malaikat Izrail yang setia
Menerima perintah Tuhan Maha Esa


Tiada apa yang boleh dibawa
Sedikit atau banyaknya harta
Pangkat ketika berkuasa
Pingat dan darjah yang diterima
Suami atau isteri yang ada
Cuma yang akan bersama kita
Segala amalan semasa bernyawa
Tambahkanlah kebaikan sebelum ke sana

-7/4/2015
Semenyih

83. KETIKA

Ketika senang
Susah jangan dilupa

Ketika gembira
Sedih jangan dilupa

Ketika bahagia
Duka jangan dilupa

Ketika susah
Yakinlah senang pasti menjelma

Ketika sedih
Yakinlah gembira pasti menjelma

Ketika duka
Yakinlah bahagia pasti menjelma

-5/4/2015
Semenyih


82. ORANG TIDAK PEDULI

Orang tidak peduli walaupun
Kita adalah hartawan
Ataupun bangsawan...
Mahupun ilmuan
Juga cendikiawan
Hatta karyawan
Mungkin usahawan
Boleh jadi agamawan
Begitu juga dermawan


Kita diberikan perhatian
Juga menjadi ingatan
Kerana memiliki ketaqwaan
Berbuat baik sesama insan
Tidak kedekut senyuman
Mendahulukan ucapan salam
Suka melakukan kebajikan
Menjauhi kekufuran
Sentiasa berada di lorong keimanan

-4/4/2015
Semenyih

Friday, April 3, 2015

81. GEMBIRA DAN SEDIH


Bersedih ketika gembira...

Bersedih bertambah harta
Andai kata kerananya
Kita menjadi lupa

Bersedih bertambah takhta
Andai kata kerananya
Kita menjadi penganianya

Bersedih bertambah hawa
Andai kata kerananya
Kita menjadi pendusta

Gembira ketika berduka...

Gembira kekurangan harta
Andai kata kerananya
Kita menjadi lebih bertaqwa

Gembira ketiadaan takhta
Andai kata kerananya
Kita menjadi pengurang dosa

Gembira dengan seorang hawa
Andai kata kerananya
Kita menjadi benar dalam berbicara

-1/4/2015
Cheras


 

80. MENERIMA ANUGERAH

Anugerah
Darjah
Pingat...

Adalah rezeki
Boleh kita miliki
Jika halal kita perolehi
Bersyukur kepada Illahi
Atas segala yang dinikmati
Semoga diberkati
Dan dirahmati

-31/3/2015
Kajang


 

Monday, March 30, 2015

79. TUHAN MEMILIH KITA

Dalam mengharungi kehidupan
Memerlukan kecekalan
Untuk menghadapi dugaan
Bagi menangani ujian
Daripada Tuhan
Pencipta setiap insan
Pasti punyai alasan
Kita dijadikan pilihan
Daripada manusia sekelian
Kenapa kita ditujukan
Bukannya orang lain

Kenapa Tuhan memilih kita
Sehingga kecewa
Begitu derita
Sangat berduka
Kerana kita punya daya
Ada upaya
Untuk melawan siksa
Tetapi bila sampai masanya
Hilanglah merana
Timbullah sinar cahaya
Menerangi kehidupan bahagia

-30/3/2015
Semenyih

78. MAHU BERSARA AWAL

Mengapa awal mahu bersara
Ada banyak sebab dalam kepala
Antara yang menjadi punca 
Kerana sudah lama bekerja
Mahu fokus kepada keluarga
Suasana kerja tidak ceria
Banyakkan membaca
Meningkatkan aktiviti agama
Umur semakin tua
Untuk berjalan ke mana saja
Kurangkan hidup leka


-30/3/2015
Semenyih


77. HARI INI

Hari ini kuat berupaya
Punya daya untuk bergaya
Bisa makan ikut selera
Boleh saja untuk berolahraga
Kehidupan ceria dalam keluarga
Mendengar radio rangkaian mesra
Menonton televisyen tidak kira masa
Apa bacaan dapat dibaca
Mahu berjalan ke mana sahaja
Sedikit lelucu terus saja ketawa

Tetapi esok pula jangan dilupa
Tidak lagi punya daya untuk bergaya
Makan minum sudah mula kena jaga
Sakit sendi tidak mampu berolahraga
Hilangnya ceria dalam keluarga
Siaran radio sudah mula lupa
Televisyen ditutup masalahnya mata
Minat membaca sudah pun tiada
Diajak berjalan mula rasa tua
Yang lucu pun tak mahu ketawa

-28/3/2015
Bukit Broga

76. ELOK BERHATI-HATI

Sengat tebuan bisanya parah
Walau seekor boleh jadi rebah
Apatah lagi kalau setadah
Pastinya pengsan hilanglah arah
Mungkin juga mati jika ajalnya sudah

Elok berhati-hati bila berbalah
Takutnya nanti lawan itu gagah
Sekali tumbuk badan terus lemah
Apatah lagi kalau kena belasah
Tentu tubuh sakit mungkin jadi lumpuh

Lebih baik berhati dalam melangkah
Agar hidup jalannya mudah
Jiwa pun tenang sungguhlah indah

-26/3/2015
Semenyih

75. POKOK PINANG

Tegak berdiri  pepohon pinang
Ditiup angin bagai nak tumbang
Angin pun reda lantas menghilang
Pokoknya tegap pacak mengimbang
Akar yang kuat mendokong batang
Masih berbuah hingga berdulang

-26/3/2015
Kajang

Thursday, March 19, 2015

74. BERBEZA

Fikirnya sayang
Rupanya bukan

Ingatnya jujur
Tapinya hancur

Rasanya kasih
Hasilnya sedih

Nampaknya suka
Jawabnya duka

Agaknya cinta
Realitinya dusta

-19/3/2015
Pulau Pinang

73. HARUS BERSEDIA

Siapa tidak mahu bahagia
Siapa yang mahu bala
Kerana kita adalah manusia
Datang bahagia kita gembira
Datang bala kita berduka
Selagi tubuh masih bernyawa
Selagi mentari masih ada
Selama itu kita harus bersedia
Untuk menerima antara keduanya

-15/3/2015
Semenyih

72. PERCAYA

Percaya
Selama mana
Selagi setia
Tidak ke mana
Sedap di mata
Kekal dalam jiwa

-14/3/2015
Semenyih

71. SUKA MEMBUAT JASA

Hari ini berpeluh
Belajar begitu tabah
Bekerja bersungguh-sungguh
Tidak mengenal erti lelah
Setiap waktu beribadah
Hukum agama sentiasa patuh
Mohon doa kepada Allah


Berbuat baik sesama insan
Yang miskin disedekahkan
Yang senang diperingatkan
Yang malas dimotivasikan
Yang payah dipermudahkan
Yang susah ditolongkan
Beginilah caranya kita amalkan

Kalau diterus begininya cara
Tuhan ternyata sangat gembira
Melihat kita menjadi manusia
Mahu menjadi orang berguna
Suka membuat jasa
Balasan bakal kita terima
Kehidupan yang penuh ceria

-11/3/2015
Kajang

Monday, March 9, 2015

70. UMUR LIMA PULUHAN

Tatkala umur mencecah
Lima puluhan sudah
Pemikiran pun turut berubah
Perjalanan hidup bukan lagi jauh
Tenaga tidak lagi begitu gagah
Jangan lagi mahu mewah
Hidup sederhana diredai Allah
Lebih baik jadikan wadah
Baru hati tidak resah
Jiwa juga tidak gelisah

Bukanlah menolak harta
Tetapi cerminlah muka
Mahu mencari syurga
Atau mendakap neraka
Umur semakin tua
Eloklah bersederhana
Fokus kepada keluarga
Mungkin sebelum ini terlupa
Kerana sibuk bekerja
Inilah masa untuk bersama

8/3/2015

Semenyih
 

69. KAIN SARUNG

Myanmar namanya negara
Dahulu dikenali sebagai Burma
Ramai penduduk beragama Buddha
Negara demokrasi selepas Junta
Bandar Yangon wujud pun lama
Ke mana pergi nampak pagoda
Tempat ibadat rakyat mereka
Patung Buddha pelbagai rupa
Kecil besar semuanya ada
Tinggi rendah kelihatan juga

Kain sarung menjadi pilihan
Tidak kira lelaki atau perempuan
Walau apa pun tujuan
Sama ada di rumah atau berjalan
Urusan rasmi atau persendirian
Berkain sarung jadi kebanggaan
Uniknya mereka sekalian
Mulanya kita merasa hairan
Bila lama jadi kebiasaan
Itulah namanya lumrah kehidupan

25/1/2015
Yangon, Myanmar

68. AIR MATA MENGALIR

Pastinya tidak mengira siapa
Yang cintakan kedamaian
Tentunya tanpa disedari
Pada malam Jumaat
12 Februari 2015 pukul 9.40 malam
Perginya seorang insan dikasihi
Tok Guru Nik Abdul Aziz
Menemui Allah SWT
Airmata kita mengalir
Membasahi pipi
Semoga rohnya bersama para solihin
Alfatihah

12/2/2015

Semenyih
 

Sunday, March 8, 2015

67. SUBHANALLAH

Siapa yang boleh kita percaya
Manusia
Bukan semua
Boleh dikira
Ibu dan ayah bolehlah juga
Kalau selain daripada mereka
Harus kita berjaga-jaga
Kerana apa
Manusia tidak sempurna
Suci pun tidak berapa
Habis itu siapa pula

Subhanallah
Maha Suci Allah
Tuhan satu yang kita sembah
Kita manusia yang lemah
Buat silap tak pernah sudah
Walaupun salah tapi tak pun resah
Tapi harus ingat takut menjadi susah
Tubuh boleh menjadi lelah
Mungkin juga rebah
Nanti tak siapa ambil kisah
Akhirnya menyesal tak sudah

Sebelum terlambat
Elok bertaubat
Subhanallah
Maha Suci Allah

8/1/2014

Semenyih

66. SIFAT SYUKUR

Benarkah kita susah
Sehingga begitu gelisah
Resah
Marah
Mengeluh
Menyalahkan Tuhan

Tiada harta
Berapa yang ada
Cuma sedikit sahaja
Atau derita
Sampai di tahap mana 
Cuma sedikit sahaja

Nun cuba lihat di sekelililing kita
Ramainya manusia
Banyak harta
Boleh hilang sekelip mata
Badan yang bertenaga
Tiba-tiba sakit hilang upaya
Makan tiada selera
Sudah tiada rasa
Tubuh kaku hilang daya

Baru kita perasan
Bukan salah Tuhan
Kita yang salah sakan
Tidak mahu mengguna fikiran
Sedikit cubaan
Sudah tidak tahan
Jangan dibiarkan
Sifat ini berterusan
Jadilah seorang insan
Yang bersyukur kepada Tuhan

5/1/2015
Semenyih



65. GAJI KITA

Kita perlu bekerja
Dengan sepenuh tenaga
Sedaya upaya
Semangat membara
Kerana gaji kita
Dibayar oleh rakyat jelata

5/1/2015

Kajang




Sunday, December 14, 2014

64. DUNIA DAN AKHIRAT

Ke manakah tujuan manusia
Ketika berjalan di pentas dunia
Ada yang masih kurang nyata
Yang sudah jelas pun ada juga
Sebahagian ingin dunia sahaja
Satu lagi mahu akhirat semata-mata
Segolongan pula tumpukan dua-dua
Sekumpulan lebihkan kepada dunia
Sekelompok lebihkan akhirat pula
Semuanya ada alasan dan cara

Dalam kita mencari jawapan
Para guru memberi pendidikan
Para ustaz memberi pengajaran
Para ilmuan memberi bimbingan
Para ulamak memberi pedoman
Semuanya itu tiada perbezaan
Untuk kita membuat pilihan
Dalam mengisi suatu perjalanan
Pilihlah jalan keseimbangan
Dunia dan akhirat jadikan sasaran

-Wan Nazarie
15/12/2014
Edinburgh UK

63. BANGSA BERJAYA

Dikatakan ada satu bangsa
Yang kuat dan perkasa
Sehingga bangsa lain yang ada
Begitu memuji dan memuja
Untuk bangsanya sendiri pula
Dalam pelbagai bicara
Mereka mengutuk dan mencela
Sehingga kita tertanya-tanya
Apakah ukuran dalam berkata
Kuat atau lemahnya sesuatu bangsa
Jawapan jelas ternyata
Mereka melihat satu sahaja
Ekonomi yang berjaya
Atau banyaknya harta benda
Yang dimiliki oleh mereka
Sebagai bangsa berjaya

Wahai bangsa yang ada
Jangan kita menjadi lupa
Dalam mengukur bangsa berjaya
Banyak aspek mesti diambilkira
Yakni sosial, politik, ekonomi dan agama
Jika cuma satu aspek sahaja
Masih belum boleh dikira
Sebagai bangsa perkasa
Tapi banyak daripada kita
Menghabiskan wang dan masa
Memikirkan bagaimana cara
Menambahkan wang dan harta
Sehingga terus terlupa
Aspek sosial diutamakan juga
Aspek politik perlu diambilkira
Aspek agama sentiasa terbela

Bukanlah salah kita berusaha
Untuk mencari harta
Walau pun sebanyak mana
Cuma satu sahaja
Kita janganlah lupa
Aspek lain ditingkatkan juga
Bukannya satu sahaja
Jika banyak aspek diambilkira
Barulah boleh kita mengata
Bangsa itu memang perkasa
Jika satu sahaja
Bangsa itu samalah juga
Seperti bangsa kita
Yang masih berusaha
Menjadi bangsa berjaya

-Wan Nazarie
13/12/2014
Edinburgh UK

62. BALASAN BAIK

Sekecil mana
Atau sebesar apa
Dilakukan oleh kita
Balasan pasti ada
Bakal kita terima
Cuma yang berbeza
Hanyalah masa

Pada suatu ketika
Ada orang menderita
Akibat ditimpa bencana
Sehingga habis segala harta
Tapi keluarganya masih ada
Untuk dijaga dan disara
Tiba-tiba kita memberi derma
Mungkin jumlahnya tak seberapa
Tapi cukup buat seketika
Untuk mereka bergembira


Kehidupan terus berjalan
Tak siapa tahu masa depan
Mengharapkan kebahagiaan
Dengan seribu harapan
Tiba-tiba datang kesenangan
Tanpa kita jangkakan
Syukur kita ucapkan
Kita tertanya sendirian
Kenapa kita jadi pilihan Tuhan
Rupanya ada jawapan

Masihkah ingat sewaktu dahulu
Kita pernah membantu
Orang yang sangat perlu
Walau pun kita tak mahu tahu
Siapakah dia itu
Tapi Tuhan pasti tahu
Apa yang berlaku
Lalu diberi sesuatu
Sebagai balasan terdahulu
Kepada orang yang suka membantu

-Wan Nazarie
12/12/2014
Edinburgh UK

Sunday, November 30, 2014

61. TURUN

Semalam di Hotel PD
Dari tingkat tujuh
Mahu turun ke bawah
Mana satu untuk dipilih
Lif pun boleh
Tangga pun tak kisah

Jika lif bukan pilihan
Tentunya tangga jadi turunan
Apa sahaja diputuskan
Turun tetaplah turun
Bilik itu mesti dikosongkan
Digunakan pula oleh orang lain

Selamatlah tinggal bilik di atas
Tempat itu memanglah kelas
Cuma diguna waktu terbatas
Walau hati tak mahu lepas
Peraturan tersedia usah dibahas
Turunlah juga walau pun tak puas

Yang indah itu bukanlah lama
Diberi pinjam cuma sementara
Tidaklah kekal untuk selamanya
Waktu di atas jangan terlupa
Bila di bawah memang berbeza
Itulah hakikat hidupnya kita

-Wan Nazarie
29/11/2014
Port Dickson

Sunday, November 23, 2014

60. ADA SIMPANAN

Hujan lebat air mencurah
Tiada payung badan pun basah

Itulah ibarat dirinya kita
Waktu muda kita bekerja
Di mana tempat usah dikira
Masa bekerja jangan berkira
Memanglah susah kita merasa
Wang tak cukup untuk menyara
Tambahlah pula hidup berkeluarga
Cukuplah makan mujurnya rasa
Jauh sekali hendak bergaya

Waktu muda memang begini
Rezeki dicari setiapnya hari
Biar sejuk di waktu pagi
Rasa menggigil menusuk hati
Biar panas di bawah mentari
Peluh mengalir bagaikan mandi
Biar gayat di tempat tinggi
Kuatkan semangat beranikan diri
Itulah cara kita berdikari

Walau pun itu kita berdepan
Carilah jalan untuk menyimpan
Tak cukup duit bukan alasan
Wang sedikit boleh disimpan
Cukup bulan bolehlah tahan
Apatah lagi kalau setahun
Tentulah banyak dapat dikumpulkan
Datangnya susah tak disangkakan
Mujurlah juga ada simpanan

Datanglah hujan mencurah-curah
Payung dibuka badan pun tak basah

-Wan Nazarie
24/11/2014
Semenyih

Friday, November 21, 2014

59. TEMPAT BAHAGIA


Lupakah kita
Waktu mula bekerja
Ingin menjaga
Sebuah rumahtangga
Dalam satu keluarga
Susah senang bersama
Mengimpikan bahagia


Masa tetap berlalu
Tidak pun menunggu
Satu demi satu
Rezeki yang diburu
Seperti sudah tahu
Singgah di bahu
Rasa ceria dan terharu

Kepala mula besar
Cakap sudah kasar
Alasan kurang wajar 
Jangan nak mengajar
Tidak mahu belajar
Perangai kurang ajar
Jalan nak menyasar

Hidup kita bukannya sama
Bila senang hilang di mata
Susah pula datang menjelma
Kawan ramai hilang ke mana
Barulah sedar siapakah kita
Akhirnya pulang mencari keluarga
Rupanya ada tempat bahagia

-Wan Nazarie
21/11/2014
Semenyih

58. HIDUP BERUMAHTANGGA


Hari ini 20 November 2014
Genaplah sudah 33 tahun
Hidup berumahtangga
Menempuh suka dan duka
Itu adat berkeluarga


Waktu susah kita bersabar
Ketika senang kita bersyukur
Matlamat nikah jangan dilupa
Mahu bersama hidup bahagia
Bekalan akhirat biarlah ada


-Wan Nazarie
20/11/2014
Semenyih

57. SUKA MENGADU


Orang suka mengadu...
Nanti macam hantu
Jangan jadi hantu
Orang akan keliru
Fikiran bercelaru
Rasa tak menentu


Orang suka mengadu...
Berniat baik kononnya
Tapi orang jadi merana
Bahkan boleh terhina
Muka nak letak di mana
Menyusahkan orang dibuatnya


Orang suka mengadu...
Bersikap hina
Bertutur nista
Kata-katanya dusta
Hidup bermuka- muka
Ternyata orang tak suka


Orang suka mengadu...
Jangan buat begitu
Cukuplah itu
Mulakan hidup baru
Biarlah hantu jadi hantu
Orang jadi orang


- Wan Nazarie
19/11/2014
Semenyih

56. JIKA IBU KITA


Jangan ditanya
kasihkah kita
kepada ibu kita
Tanyalah kita
kasihkah dia
kepada kita
kerana
tanpa kasihnya
kepada kita
sudah ternyata
jalan hidup kita
sentiasa kecewa
selalu derita
tidak gembira
tiada bahagia
kerana kita lupa
dia itu siapa
walau sudah tua
tapi orang tua kita


Susahnya dia
sakitnya rasa
lahirkan kita
Penatnya dia
pahitnya rasa
menjaga kita
membesarkan kita
Tanpa kasihnya
kepada kita
hidup kita
susah yang nyata
mati kita
masuklah neraka
Tapi adalah nyata
jika ibu kita
kasihkan kita
dunia kita
jalanya gembira
cukup bahagia
Matinya kita
masuklah syurga
Janji Allah jelas ternyata


-Wan Nazarie
18/11/2014
Langkawi

Sunday, November 16, 2014

55. TAK TAHAN LAMA

Hati-hati dengan lawan
Di depan mengaku kawan
Diajak pula menjadi rakan

Mahu menjatuh seorang teman
Strateginya tidak diperasan
Lagaknya sungguh bersopan
Tapi hati digoda syaitan


Terus percaya bulat-bulat
Tak sedar diri jadi alat
Teman pun jatuh capailah hasrat
Lawan terus terangkat
Kerana kita yang mengangkat
Mahu bersama kerja sepakat
Agar pasukan terus meningkat


Ikatan palsu tak tahan lama
Sikit-sikit nampaklah roma
Hati mula tertanya-tertanya
Kenapa dulu nak bersama
Tapi kini entah ke mana
Barulah sedar siksanya jiwa
Itulah padah tak usul periksa


-Wan Nazarie
17/11/2014
Semenyih

Saturday, November 15, 2014

54. KUASA PENA

Kita boleh menolaknya jatuh
Lalu dia pun rebah
Berdiri pun digagah-gagah

Kawan kata cukuplah
Dia sudah termengah-mengah
Mahu bernafas pun susah
Hanya Tuhan tempat menadah
Kita masih buat tak kisah
Mahu lagi ditolak ke bawah
Asalkan hati puaslah sudah


Memang kita ada kuasa
Memang dia tiada apa
Tapi kita jangan lupa
Dia masih ada
Ada rasa
Ada minda
Ada pena
Kita mampu menjatuhkannya
Tapi penanya
Bukan kuasa kita


-Wan Nazarie
16/11/2014
Semenyih

53. TIBA MASA

Hari ini kita gembira
Mendapat yang kita suka
Senyum sendiri tak terasa
Hati kata macam tak percaya
Kawan pun ramai yang memuja
Rata-rata tumpang ceria


Tapi kita jangan lupa
Itu hanyalah sementara
Untuk kita merasa
Apa itu harta atau kuasa
Tiba masa habislah semua
Kita pun jadi orang biasa


Kita miliki adalah amanah
Jangan dibiar menjadi punah
Mesti pandai mengatur langkah
Kuasa diguna biar berfaedah
Sikap diamal biar merendah
Barulah hidup akhirnya indah


-Wan Nazarie
16/11/2014
Semenyih

Thursday, November 6, 2014

52. USAH DISOAL

Tuhan menjadikan kita
terdiri pelbagai bangsa
dan pelbagai rupa
serta warna kulit yang berbeza
Ada miskin atau pun kaya
ada bijak atau pun kurang bijak
ada tinggi atau pun rendah
ada sempurna atau pun cacat


Tapi Tuhan itu Maha Adil
Walau pun banyak yang berbeza
namun dalam banyak perkara
masih banyak yang sama
yang tidak mengira siapa
 
atau dari bangsa mana


Mereka tetap sama sahaja
Boleh tidur atau berjaga
boleh menangis atau ketawa
boleh makan atau berpuasa
boleh berdiam atau berkata
boleh gembira atau kecewa
 

Usah disoal apa bangsa kita
kenapa begini rupa kita
kenapa begini kulit kita
kenapa begini kecerdikan kita
atau kenapa begini saiz kita
Kerana itu ketentuan Tuhan


Baiklah kita carikan jalan
untuk kita maju ke depan
supaya hati menjadi gembira
mampu makan apa sahaja
mampu bergerak ke mana-mana
boleh tidur dengan lena
boleh menjadi lebih bertaqwa
Kerana semua itu ada jawapannya


-Wan Nazarie
7/11/2014
Semenyih

Wednesday, November 5, 2014

51. HARI PENJARA

Hari Penjara bunyinya aneh
Acara diatur banyak faedah
Jaga penjara bukannya mudah
Banduan ditahan hakim yang arah
Wadar menjaga bukan tak lelah


Siang dan malam tugas dibuat 
Penghuni dijaga biarlah selamat
Temboknya tinggi sukar dipanjat
Tugas mencabar memanglah berat
Itulah anggota melindung masyarakat



Penghuni yang ada sikap berbeza
Nak pulih mereka rumitnya kerja
Kalau kes dadah lagi ambil masa
Jangan putus asa itu kerja mulia
Semoga menjadi insan berjaya



Tugas anggota sedia diarah
Kerja ikut syif lagilah payah
Walau pun berat jangan dibantah
Sikap yang jujur itulah amanah
Jasa dikenang tentunya indah



-
Wan Nazarie
6/11/2014
MPM Kajang


50. POLIS

Tugas polis bukannya senang
Harus bekerja malam dan siang
Risikonya tinggi bukan kepalang

Silapnya langkah nyawa melayang
Menjaga masyarakat yang disayang



Tugas polis mencegah jenayah
Ke mana saja sanggup diredah
Walau pun bahaya tidaklah kisah
Untuk menjamin rakyat tak susah
Itulah polis menangkap penjenayah



Tugas polis menjaga keamanan
Kalau tidak ada tentu tidak aman
Sukarlah kita mahu cari makan
Rakyat pun hidup dalam ketakutan
Mujur ada polis pastikan keselamatan



Tugas polis memanglah mulia
Pakai seragam kemas bergaya
Disiplinnya tinggi di mana sahaja
Jiwanya kental selalu bersiap sedia
Jasa polis dikenang sepanjang masa


-Wan Nazarie
6/11/2014
Semenyih

Monday, November 3, 2014

49. MAHKAMAH


Mahkamah itu tempat menghukum
Adil dan saksama tugas para hakim
Kerja perlu betul tidak boleh dendam
Kalau sudah jelas baru jatuh hukum
Itulah harapan setiap orang awam

Kerjanya polis tangkap orang salah
Bila sudah siasat baru boleh tuduh
Pendakwa jadi sibuk carikan hujah
Kalau ada peguam banyaklah dalih
Hakim yang arif beri kata penyudah

-Wan Nazarie
3/11/2014
Istana Kehakiman

Saturday, November 1, 2014

48. GUNUNG KINABALU

Gunung Kinabalu indah menawan
Puncaknya tinggi mencecah awan
4095 meter ukuran ketinggian
Terletak di Sabah negerinya aman
Penduduknya ramah lagi bersopan


Gunung tertinggi dalam Malaysia
Menjadi pesaka warisan dunia
Sudah terkenal di mana-mana
Udaranya nyaman cukup selesa
Siapa ke sana memang gembira


Bukannya mudah naik ke puncak
Fizikal dan mental haruslah kuat
Rehatlah dulu kalau dah penat
Biarlah lambat janji kita selamat
Tiba di atas itu paling kemuncak


Kita terjumpa masa mendaki
Kerja malim bebankan diri
Pikul barang berat sekali
Naik ke atas sambil berlari
Begitulah kerja mencari rezeki


Sampai di bawah rasanya lega
Walau pun letih seluruh anggota
Puasnya hati tidak terhingga
Kenangan diingat sampai bila-bila
Gunung Kinabalu tersohor sedunia


-Wan Nazarie
1/11/2014
Gunung Kinabalu

47. KELEBIHAN MELAYU

Lahirnya kita jadi orang Melayu
Sudah ikut Islam sejak dari dulu
Ayah selalu dengar pesan tok guru
Ajarlah anak jangan mudah jemu
Selalu bagi jalan cara cari ilmu
Bila ada duit pergi beli buku
Itulah Melayu suka anak maju


Pagi Jumaat sibuk sekali
Masjid dan surau ramailah ahli
Mendengar ceramah dengan teliti
Tok guru bercakap sepenuh hati
Memberi nasihat sangat bererti
Mengharapkan kita hidup diberkati
Itulah Melayu suka maju diri


Anak gembira ayah balik kerja
Isteri buat kopi dapat rasa lega
Habis memasak makan sama-sama
Ada kisah lucu bolehlah cerita
Kalau kena gaya pakatlah ketawa
Jika susah hati hilanglah rasa duka
Itulah Melayu mesra berkeluarga


Setiap bangsa ada kelebihannya
Itulah keadilan Tuhan Maha Esa
Jangan asyik cerita buruknya kita
Kelebihan Melayu pun banyak juga
Kita bersopan dan bertatasusila
Sanggup bekerja di mana sahaja
Itulah Melayu mahu berjaya


-Wan Nazarie
1/11/2014
Kota Kinabalu

46. PEMIMPIN

Kita bekerja mencari rezeki
Dapat sedikit sukanya hati
Dapat lebih senyum sendiri
Orang tamak selalunya rugi
Orang bersyukur dapat lagi


Rezeki datang melimpah ruah
Rasa gembira tak sudah-sudah
Pangkat pun naik lagilah indah
Rakan yang dekat mula dah jauh
Bangganya diri sikap pun berubah


Rezeki tambah lagi lalu jadi ketua
Mula cari orang siapa dia suka
Tak tunggu lama terangkatlah dia
Siapa pandai jaga dapatlah juga
Mana tak pandai duduk situ saja


Makinlah lama makinlah lupa
Mananya datang asalnya kita
Sikitnya silap terus guna kuasa
Mahu jadi apa tak peduli siapa
Kawan yang dulu itu kisah lama


Bila buat nianya guna nama Tuhan
Kita buat salah selalu tak perasan
Tapi jangan lupa Nabi sudah pesan
Jangan buat zalim pada orang lain
Nanti hidup susah mau cari makan


Jadilah pemimpin orang beriman
Buatlah adil pada semua insan 

Siapa buat silap carilah jalan
Barulah betul kita memimpin
Nanti orang ingat jasa pemimpin


-Wan Nazarie
30/10/2014
Kota kinabalu

Monday, October 27, 2014

45. UJIAN TUHAN

Setiap insan yang ada
Pada bila-bila masa
Ujian hidup datang menimpa
Begitu berat cukup tersiksa
Rasanya gelap dalam cahaya
Diajak berjalan tiada daya
Disuruh makan tiada selera
Pada keluarga tempat besuara
Hanya Tuhan kita meminta

Mujurnya Nabi tinggalkan pesan
Melalui wahyu turunnya Quran
Ajaran suci itulah pegangan
Minta bersabar dalam kesusahan
Tabahkan hati jagalah badan
Jangan dibiar jiwa tertekan
Kuatkan semangat carilah jalan
Rendahkan diri tingkatkan iman
Ujian datang tentunya dari Tuhan

Kita bersabar dalam berduka
Walau pun pahit ditelan jua
Tetap terima dengan redha
Setiap masa memohon doa
Tuhan mendengar rintihan kita
Orang bersabar diberi pahala
Janji Tuhan pastinya tiba
Sampai masa hilanglah duka
Habislah ujian bersyukurlah kita

-Wan Nazarie
27/10/2014
Semenyih

Sunday, October 26, 2014

44. HARI INTEGRITI

Hari ini Hari Integriti
Kita menyambut sepenuh hati
Para pemimpin siap menanti
Memberi ucapan penuh bererti
Agar kita lebih berintegriti

Integriti itu keutuhan...
Membina jati diri setiap insan
Sifat yang baik kita amalkan
Sifat yang buruk kita tinggalkan
Biar meningkat tahap kecekapan
Agar kerja lebih berkesan


Integriti itu kejujuran...
Kita memikul amanah rakyat
Cukai dibayar kita yang dapat
Buatlah kerja walau pun penat
Jujur dan ikhlas jadikan azimat
Agar kerja lebih bersemangat


Integriti itu ketelusan...
Pentingkan diri harus dielakkan
Walau pun peluang ada di depan
Setiap peraturan jadikan panduan
Perkara yang salah kita cegahkan
Agar kita lebih beriman


Itulah integriti
Tanpanya tiada erti
Rakyat kecewa memakan hati
Usah difikir mana nak lari
Jika dah salah jawablah sendiri
Kerana kita kurang integriti


Harapan rakyat harapan negara
Kerajaan berkuasa tetap berusaha
Demi masyarakat pelbagai bangsa
Jadikan integriti agenda utama
Dalam melaksana cita-cita mulia
Negara aman rakyat sejahtera


-Wan Nazarie
26/10/2014
Semenyih

43. MENCURI

Siapa mencuri memang dibenci
Ramai yang takut pada pencuri
Konsep mencuri luas sekali
Boleh dilihat beberapa kategori

Mencuri harta...
Kerja mencuri jangan dicari
Kalau ditangkap pakailah gari
Jika masuk jel lagi susah hati
Walau pun payah kerjalah sendiri
Barulah dapat kita berdikari

Mencuri masa...
Dalam bekerja usah mencuri masa
Gaji dibayar untuk kita bekerja
Mahu buang masa jangan direka
Kalau tuang kerja rakyat tak rela
Nanti tak berkat hidup bekeluarga

Mencuri tenaga...
Tugas utama cuma sekali sekala
Kerja sampingan tak boleh dikira
Tempat yang jauh itu kerja kita
Bila yang dekat boleh wakil saja
Rakyat bayar gaji suruh kita kerja

Mencuri pangkat...
Sebab pangkat kawan jadi lawan
Orang lama tidak dipedulikan
Orang di atas diberikan pujian
Asalkan dapat apa diinginkan
Kerja begini jangan dilakukan

Mencuri kuasa...
Bukanlah salah mencari kuasa
Asalkan betul cara berusaha
Selalu cari isu untuk buat cerita
Tak kesah apa bila tamak kuasa
Cara begini memang berdosa

Mencuri itu luas bidangnya
Jangan difikir hanya pada harta
Siapa suka mencuri takutlah dosa
Elakkan mencuri baru hidup sentosa

-Wan Nazarie
25/10/2014
Bukit Broga

Friday, October 24, 2014

42. MEMBAZIR

Membazir itu dilarang agama
Sahabat syaitan dikatakan juga
Tidak bersyukur jelas ternyata
Apa yang ada tak mahu dijaga

Kita membazir ketika makan
Masuk restoran ikut nak pesan
Banyaknya lauk dalam hidangan
Makan sedikit perut sudah kenyang
Belum pun habis mahu ajak pulang


Kita membazir ketika mandi
Paip dibuka ikut suka hati
Mandi sedikit guna banyak baldi
Bila dalam kolam lupalah diri
Air melimpah buat tak peduli


Kita membazir mengguna lampu
Lampu dipasang tak kira waktu
Berapa nak guna usah ambil tahu
Sudah pun siang masih berlampu
Kenapa mahu peduli itu hak aku


Sayangkan rezeki sifat yang luhur
Walau pun sedikit boleh terhibur
Kita berjimat tandanya syukur
Kita membazir tandanya kufur


Wan Nazarie
25/10/2014
Semenyih

41. MENGUMPAT

Kalau suka mengumpat orang
Tentu sekali perbuatan itu dilarang
Kenapa cerita keburukan seseorang
Nanti dimarah bukan kepalang
Mungkin pula datang menyerang
Atau didoakan kita jadi tak senang

Bagaimana pula jika kita diumpat
Tentu sakitnya hati begitu kuat
Perasaan marah tak boleh disekat
Nampak muka benci meluat-luat
Kalau jumpa tak mahu dekat-dekat
Usah disebut lagi nama pengumpat


Mengumpat dilarang oleh agama
Orang mengumpat mendapat dosa
Orang diumpat mendapat pahala
Dalam mesyarakat samalah juga
Jangan diwujud satu budaya
Budaya tak baik sangatlah bahaya


Umpat mengumpat kita hindarkan
Untuk mengelak dosa dari Tuhan
Banyak membaca kita amalkan
Ceramah yang baik kita dengarkan
Masa terluang jangan dibazirkan
Semoga hidup penuh kerahmatan


Wan Nazarie
24/10/2014
Semenyih

Wednesday, October 22, 2014

40. NEGARA MALAYSIA


Wujudnya dalam Nusantara
Kepulauan Melayu disebut juga
16 September 1963 itulah kita
Lahirnya negara bernama Malaysia
13 negeri terdiri pelbagai bangsa
Janji setia memakmurkan negara

Negara berdaulat negara beraja
Amanah dipikul pemimpin berkuasa
Rakyat mengharap hidup sejahtera
Perpaduan kaum matlamat utama
Mari amalkan prinsip Rukun Negara
Supaya masyarakat aman sentosa

Negara kita negara merdeka
Rakyatnya bebas ke mana sahaja
Masyarakat majmuk telah pun ada
Budaya diamal berbeza-beza
Pelancong ke mari pelbagai rupa
Jadilah kita negara ternama

Ayuhlah kita rakyat Malaysia
Bersatu hati sepenuh jiwa
Berpadu tenaga kita berusaha
Bersama-sama membangun negara
Negara maju rakyat sejahtera
Negara kita negara Malaysia

-Wan Nazarie
23/10/2014
Semenyih

Tuesday, October 21, 2014

39. ADA HIKMAHNYA

Dalam menempuh kehidupan
Apa sahaja boleh dirancangkan
Tapi Tuhan jua yang menentukan
Tiga kemungkinan kita berdepan

Pertama, kita mahu dan kita dapat
Kita gembira melompat-lompat
Wajah ceria tidak kira tempat
Senyum sendiri terasa hebat
Kadang ketawa melarat-larat
Sukanya hati bukan dibuat-buat


Kedua, kita mahu tapi tak berjaya
Kita bersedih hati tak bahagia
Wajah tak ceria nampak di muka
Susah nak senyum bila bersua
Apa dicerita malas nak ketawa
Siapa terkena memang kecewa


Ketiga, kita hilang yang kita miliki
Sedihnya hati tidak terperi
Air mata mengalir membasahi pipi
Rasa tak percaya apa yang terjadi
Rasa nak lari menghilangkan diri
Jiwa merana ingat sampai mati


Itulah realiti kehidupan kita
Hari ini kita dapat kita gembira
Esok kita tak dapat kita kecewa
Lusa kita hilang kita menderita
Semuanya itu bukan dari kita
Apa pun terjadi pasti ada hikmahnya


-Wan Nazarie
22/10/2014
Semenyih

Monday, October 20, 2014

38. RAJIN BELAJAR


Pergi sekolah guru mengajar
Dari kecil sampailah besar
Banyaknya perkara mereka diajar
Ibu dan ayah tak pernah gusar
Melihat anak minat belajar

Pulang ke rumah ibu menanti
Makanlah dulu barulah mandi
Bersiap pula pergi mengaji
Ilmu agama pengukuh diri
Pagi dan petang ilmu dicari
Untuk menjadi insan berdikari


Jadikan diri orang yang rajin
Sifat yang malas minta dijauhkan
Kerja rumah usahlah ditangguhkan
Kalau tak faham carikan rujukan
Ibu dan ayah jadikan dorongan
Pentingnya ilmu demi masa depan


Masa yang ada usah dibuang
Rajin belajar masa terluang
Bila periksa jawab pun senang
Kalau malas kita kecundang
Kalau rajin kita cemerlang


-Wan Nazarie
21/10/2014
Semenyih


Sunday, October 19, 2014

37. JASA PAHLAWAN

Negara kita aman kerana siapa
Rakyat sejahtera sebab mereka
Siapa melindungi kedaulatan raja
Mereka menjamin kerajaan berkuasa
Ekonomi maju siapa menjaga
Itulah tentera benteng perkasa 

Waktu aman mereka bekerja
Masa susah mereka berjaga
Setiap detik bersiap siaga
Sanggup bertugas di mana saja
Rela berkorban demi negara
Itulah tentera bersifat setia

Di darat mereka mara ke depan
Di laut mereka memburu lawan
Di udara mereka gagah di awan
Bila bertempur dalam peperangan
Mungkinnya hidup atau terkorban
Itulah tentera tugasnya bertahan

Walau gugur dalam perjuangan
Harum namanya jadi ingatan
Jasa pahlawan tiada bandingan
Hilang harta carilah yang lain
Hilang nyawa hilanglah badan
Itulah tentera berjiwa pahlawan

-Wan Nazarie
20/10/2014
Semenyih

36. PERMUAFAKATAN

Hidup ini seperti perlumbaan
Dikira menang siapa di depan
Perlumbaan perlukan kekuatan
Kekuatan perlukan persediaan
Persediaan perlukan perancangan


Visi dan misi tentukan arah tujuan
Strategi disusun licinkan pelaksanaan
Sesiapa terlibat diberi penjelasan
Semua pihak harus ada penglibatan
Mana yang kurang sediakan latihan


Fokus utama jagalah pelanggan
Jangan dibiar mereka komplen
Hilang mereka susahlah sakan
Pelanggan bertambah jadi harapan
Pelanggan percaya itulah kekuatan


Kita bekerja bukan berseorangan
Kerja bersepakat teras kejayaan
Kebajikan mereka usah diabaikan
Lonjakkan mereka jika berkelayakan
Barulah wujud semangat berpasukan


Runtuhnya bukit tak disangkakan
Dari jauh indahnya pemandangan
Kawasan di atas cantik menawan
Rupanya di bawah ada kebocoran
Bawahnya lemah habislah kekuatan


Jika dah runtuh siapa nak disalahkan
Daripada mencari untuk menekan
Baiklah kita buat permuafakatan 

Lemahnya kita kerana perpecahan
Kuatnya kita kerana permuafakatan



-Wan Nazarie
19/10/2014
Semenyih

Friday, October 17, 2014

35. PUKUL EMPAT PAGI


Pukul empat pagi
Siapa mahu bangun awal pagi
Suasana begitu sunyi dan sepi
Ramai yang sedang bermimpi
Mimpi indah atau mimpi ngeri
Rupanya ada rahsia waktu begini

Pukul empat pagi
Waktu yang sangat berkesan
Untuk kita meningkatkan keimanan
Bersolat dengan penuh tumpuan
Mengucap syukur dan memohon keampunan
Meminta apa yang kita inginkan


Pukul empat pagi
Kalau membaca cepat mengerti
Bila menulis isinya banyak sekali
Jika menghafal mudah dingati
Idea berfikir datang sendiri
Waktu begini bagus untuk studi


Pukul empat pagi
Bukan ramai yang boleh bangun
Rasa mengantuk jadi halangan
Walau pun sukar carilah jalan
Tiada kesenangan tanpa kesusahan
Usaha itu adalah tangga kejayaan


-Wan Nazarie
18/10/2014
Semenyih

34. MUJURNYA KITA

Ternampak seorang lelaki tua
Di persimpangan jalan raya
Berdiri memegang bendera
Menghisap rokok cukup bergaya
Tidak peduli panas membara
Meniup seruling seketika

Orang melihat katanya gila...

Senyumnya nampak gigi
Ketawa sambil menari
Bicara seorang diri
Bertindak sesuka hati

Meniup wisel berkali-kali
Tidak siapa berani dekati

Mujurnya kita...

Fikiran waras lagi sempurna
Hidup gembira bersama keluarga
Mampu makan ikut selera
Memakai pakaian pelbagai warna
Sekali-sekala pergi mengembara
Syukurlah kepada Tuhan Maha Esa

-Wan Nazarie
17/10/2014
Semenyih


33. KETIKA MASIH KUAT


Masa muda cukup berharga
Ketika kuat kita berusaha
Waktu sihat kita berwaspada

Ajak berjalan kata letih
Ajak berjoging kata lelah
Ajak berlari kata susah
Ajak mendaki kata mengah
Ajak berbasikal kata tak payah
Ajak berenang kata tak usah


Lemak di badan makin meningkat
Gula yang ada tak pernah sukat
Makanan masin katanya lazat
Kena lemah jantung baru nak berlari
Kena kencing manis baru nak mendaki
Kena darah tinggi baru susah hati


Ketika masih kuat teruskan usaha
Jangan dah lemah baru nak mula
Sayangi badan jom pakat jaga


Wan Nazarie
16/10/2014
Kajang

Wednesday, October 15, 2014

32. KITA SUDAH MERDEKA

Malaysia kita negara merdeka
Tempat tinggal pelbagai bangsa
Ada Melayu dan Bumiputera
Juga Cina dan India
Kita merdeka atas nama setia
Merdeka, merdeka, merdeka
31 Ogos 1957 tarikh keramat kita
Stadium Merdeka tempat bergema
Suara semangat pemimpin utama
Diikuti suara seluruh rakyat jelata
Bersatu hati bersatu suara
Merdeka, merdeka, merdeka
Laungan kedengaran pelusuk negara
Pemimpin dan rakyat amat gembira
Gugurnya perwira meninggalkan jasa
Seluruh media ceritakan sama
Sudah merdeka negara tercinta
Merdeka, merdeka, merdeka
Kita sendiri menjadi pemerintah
Membawa rakyat ke mana arah
Bersamalah kita memegang amanah
Bila bersatu kita teguh
Bila bercerai kita roboh
Merdeka, merdeka, merdeka
-Wan Nazarie
16/10/2014
Semenyih