Friday, October 10, 2014

( ) ANAK KECIL

Anak kecil insan warisan
Menangis jika tidak dilayan
Ketawa pabila diberi perhatian
Cakap ibu jadi pegangan
Sikap ayah mudah diturutkan
Belum faham erti kehidupan

Anak kecil selembut sutera
Mudah dilentur senang dihala
Jalan baik boleh dibawa
Lorong salah pun boleh juga
Terserahlah kepada ibu dan bapa
Untuk memilih arah dan hala

Ajarlah anak perkara yang baik
Suara menengking harus dielak
Salah dan silap usah diherdik
Jangan ditampar atau disepak
Perlu bersabar dalam mendidik
Kasih dan sayang cara terbaik

Perangai anak tidak serupa
Begitulah juga dengan rupa
Berlaku adil pada semua
Anak yang kurang usah kecewa
Bagi yang lebih jangan dibangga
Barulah wujud keluarga bahagia

Wan Nazarie
9/10/2014
Semenyih

No comments:

Post a Comment